Bulan Rejab adalah bulan Haram

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera

Ahlan Wa Sahlan Ya Rejab.

Siapa yang sangka, pejam celik, pejam celik, sekarang kita dah masuk bulan Rejab. Tak lama lagi, Syaaban dan tibanya Ramadan. Moga kita tak mengulangi kesilapan lalu. Masa pantas berlalu, ada ketika kita sedar adakala alpa.

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَـعْبَانَ وَبَلِّـغْنَا رَمَضَانَ
“Ya Allah, berkatilah kami (limpahkanlah kasih sayang kepada kami) dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.”

Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana mereka mengagungkan bulan ini ketika zaman al-Jahiliyyah dengan meninggalkan peperangan padanya. Perkataan jama’ bagi Rejab adalah Arjab (أرجاب) dan jika digabungkan Rejab dan Sya’ban dinamakan sebagai Rajaban (رجبان). [Lihat: Mukhtar al-Shihah, 118]

Di samping itu, Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan ia merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya. Bulan ini datang selepas daripada Jumadi al-Akhir dan selepasnya adalah Sya’ban.

Bulan Rejab termasuk dalam 4 bulan suci dan mulia yang diharamkan berperang atau bersengketa dalam Islam. Bulan ini adalah bulan aman, damai dan selamat. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud;

“Sesungguhnya, bilangan bulan di sisi Allah adalah 12 bulan, (sepertimana) dalam ketetapan Allah pada waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan suci tidak boleh berperang di dalamnya (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (bulan yang empat) itu…”

(Surah at-Taubah ayat 36)

Kelebihan bulan Rejab

Di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan Rejab, Antaranya ialah:

  • Disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir, 4:130]
  • Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]
  • Imam Ibn al-Qayyim mengatakan: “Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka”. [al-Manar al-Munif, 96]
  • Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif”. [al-Sail al-Jarrar, 297]
  • Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW”. [Faidh al-Qadhir, 4:210]

Tarjih

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam masalah ini, adalah cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

Amalan-Amalan Yang Digalakkan Pada Bulan Rejab

Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Rejab ini adalah dan amalan-amalan ini bersifat umam adalah:

  • Berpuasa
  • Memperbanyakkan bersedekah
  • Memperbanyakkan membaca al-Qur’an
  • Memperbanyakkan berzikir
  • Memperbanyakkan solat-solat sunat

Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan antara bulan-bulan yang mulia kerana ia merupakan salah satu daripada bulan Haram. Hal ini juga disebut berdasarkan firman Allah SWT berkaitan bulan Haram di dalam Al-Qur’an sebagaimana yang kami nyatakan di atas.

Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita dalam bulan ini bagi mempersiapkan diri menempuh bulan Ramadhan yang akan datang.

Akhirnya, semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya kepada kita pada bulan Rejab dan Syaaban dan semoga kita mampu bertahan utk bernafas hingga tibanya Ramadan yg dinanti.
-muftiwp-


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!