Bulan-bulan Haram dan kelebihan yang ada padanya

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Bulan Haram telah disebut di dalam al-Quran Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT:

إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”. [al-Taubah:36]

Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir, 4:130]

Baca juga: Keistimewaan 10 Muharram, Hari Asyura

Definisi Bulan Haram

Bulan Haram ini terdiri daripada empat buah bulan di dalam Islam iaitu Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah, Muharram dan Rejab. Hal ini disebut di dalam sebuah hadith yang sahih, yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054]

Bulan ini dinamakan bulan yang Haram kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

Kelebihan Bulan Haram

Bulan haram ini mempunyai beberapa kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain, antaranya ialah:

  • Terdapat sebahagian ulama’ mengatakan afdhal melakukan umrah pada bulan Zul al-Kaedah berdasarkan hadith di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa Nabi SAW melaksanakan kesemua umrah baginda SAW di dalam bulan ini.
  • Pada bulan Zul al-Hijjah, umat Islam akan menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu ibadat haji yang mana ibadat ini tidak boleh dilakukan di dalam bulan-bulan yang lain.
  • Berpuasa sunat pada 9 Zul al-Hijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji.
  • Berpuasa sunat pada 10 Muharram iaitu pada hari Asyura’.

Baca juga: Beberapa peristiwa besar yang berlaku pada 10 Muharram

Penutup

Kesimpulannya, bulan Haram adalah bulan di mana Allah SWT akan menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut. Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi.

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima setiap amalan kita dan meletakkannya dalam neraca kebaikan kita di akhirat kelak. Amin.

Sumber: Mufti Wilayah


Spread the love

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!