Bukti bahawa Hang Tuah wujud bukan mitos

Spread the love

POLEMIK kewujudan Hang Tuah bukanlah perkara baharu, malah hampir setiap tahun ada pihak mempertikaikan kesahihan kisah pahlawan Melayu terbilang itu, disamping tidak kurang juga mempertahankannya.

Hang Tuah adalah pahlawan yang hidup pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan dilantik sebagai Laksamana sejak pemerintahan Sultan Mansur Shah hingga Sultan Mahmud Shah.

Koleksi Gambar Hang Tuah

Bagaimanapun, kerana kekurangan bukti kukuh mengenai Hang Tuah, menyebabkan pelbagai teori dilemparkan, sama ada benar atau tidak kewujudannya, hingga ada sekurang-kurangnya 10 versi berbeza mengenai kisah pahlawan itu.

potret Hang Tuah

Logik di sebalik dakwaan kewujudan Hang Tuah, tambah diragui kerana sebarang bukti yang dikaitkan mengenai kehidupannya hanya bersandarkan hujah serta cerita mulut turun-temurun yang tidak konkrit dan nyata.

Hujah mengenai kewujudan Hang Tuah selama ini adalah bersandarkan daripada beberapa nukilan tempatan, antaranya Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).

Namun, penemuan dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini membuka lembaran baharu apabila buat pertama kalinya pembuktian kewujudan Hang Tuah dilakukan secara kajian empirikal termasuk menggunakan sumber dan artifak asing.

laksamana hang tuah
Kredit gambar : Walid @ Galeri Epik

Sumber dan artifak itu ialah dokumen rasmi Empayar Ryukyu (kini Okinawa), Jepun dalam bahasa China, ‘Rekidai Hoan’, catatan peribadi penakluk Melaka, Alfonso de Albuquerque, yang ditulis antara tahun 1510 hingga 1511.

Selain itu, dokumen Ming Shi, iaitu Sejarah Dinasti Ming ditulis bermula tahun 1403 oleh Maharaja Ming, Cheng Zu yang mengandungi perutusan ke Alam Melayu serta dokumen hasil tulisan Xin Fei, iaitu pencatat rasmi Laksamana Zeng He (Cheng Ho).

Koleksi Gambar Hang Tuah

Penyelidikan dua Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Profesor Emeritus Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin itu berjaya mengesahkan tahun kelahiran Hang Tuah iaitu pada 1431.

Turut disahkan ialah jejak terakhirnya yang didokumentasikan iaitu di Temasik (kini Singapura) pada tahun 1511 ketika berusia 80 tahun. Hang Tuah pernah menjejakkan kaki ke Ryukyu pada tahun 1480 dan 1481, selain penemuan sebilah keris luk sembilan di Okinawa yang dikatakan dibawa sendiri oleh Hang Tuah ke Jepun.

Lebih banyak penemuan dan bukti akan didedahkan Hashim dan Rohaidah dan ia sekali gus akan terus membuktikan kewujudan Hang Tuah melalui fakta sejarah serta sumber yang berwibawa.

Video bukti Hang Tuah bukan metos atau cerita dongeng

Dokumen Empayar Ryukyu, ‘Rekidai Hoan’

  1. Mencatatkan hubungan Kerajaan Ryukyu dengan Korea dan kepulauan Asia Tenggara antara tahun 1424-1867.
  2. Mengandungi 19 surat daripada Kerajaan Ryukyu dan 11 surat daripada Kesultanan Melayu Melaka.
  3. Tiga surat ditulis sendiri oleh Hang Tuah bagi pihak Sultan Melaka.
  4. Hang Tuah berusia 50 tahun ketika surat ke Ryukyu ditulis pada tahun 1480.
  5. Memperincikan hadiah yang dibawa Hang Tuah, antaranya keris luk sembilan yang ditemui di Kuil Diraja Engakuji, Okinawa.

Koleksi Keris Melayu

Catatan Peribadi Alfonso de Albuquerque

  1. Ditulis ketika pelayar itu menakluk Goa, India (1510) dan Melaka (1511).
  2. Catatan dalam bahasa Portugis itu diterbitkan dalam bentuk buku bertajuk The Commentaries of the Great Alfonso Dalboquerque pada tahun 1557.
  3. Hang Tuah yang digelar Laksamana disebut pada halaman 83, 89, 90, 395.
  4. Menceritakan carta salasilah Kesultanan Melayu Melaka membabitkan Hang Tuah sebagai mentua kepada Sultan Mansur Shah dan datuk kepada Sultan Alauddin Riayat Shah.
  5. Menyatakan Laksamana Hang Tuah masih hidup pada tahun 1511, berusia 80 tahun dan bermukim di Singapura selepas kejatuhan Melaka, selain menyifatkannya sebagai masyhur, perwira handal dan berpengetahuan.

Dokumen Ming Shi dan Catatan Xin Fei

  1. Dokumen Ming Shi ditulis mulai bermula tahun 1403 oleh Maharaja Ming, Cheng Zu, yang mengandungi perutusan ke Alam Melayu.
  2. Membuktikan kewujudan hubungan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan Dinasti Ming sebelum kelahiran Hang Tuah.
  3. Catatan Xin Fei mengenai pelayaran Laksamana Zheng He (Cheng Ho) pada abad ke-15, antaranya ke Melaka pada 1405.
  4. Membuktikan kedatangan terakhir Laksamana Zheng He ke Melaka pada tahun 1430, setahun sebelum kelahiran Hang Tuah.
biodata Hang Tuah

Garis masa hayat Hang Tuah

1431-1444 

  1. Tahun kelahiran sehingga berusia 13 tahun / zaman kanak-kanak
  2. Pemerintahan Sultan Muhammad Shah (1424-1444)

1444-1459

  1. Berusia 13 tahun hingga 25 tahun / zaman remaja
  2. Pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1456)

1459-1477

  1. Berusia 25 tahun hingga 46 tahun / zaman dewasa
  2. Pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477)

1477-1488

  1. Berusia 46 tahun hingga 57 tahun – zaman pertengahan
  2. Pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488)

1488-1511

  1. Berusia 57 tahun hingga 80 tahun – zaman tua
  2. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511)

Koleksi Keris Melayu

Keris luk sembilan

  1. Ditemui di pekarangan Kuil Diraja Engakuji, Okinawa pada tahun 2002 tanpa hulu dan sarung.
  2. Hadiah kerajaan Kesultanan Melayu Melaka kepada Kerajaan Ryukyu, yang tercatat dalam surat dibawa Hang Tuah.
  3. Bilah keris sepanjang 22.1 sentimeter (hampir sembilan inci).
  4. Dipercayai diperbuat daripada meteor kerana kajian saintis Jepun mendapati bilahnya tidak sepadan dengan mana-mana elemen di bumi.
  5. Dipercayai berukuran lebih satu kaki jika diukur dengan hulunya.
  6. Luk sembilan pada keris menandakan ia sebagai peralatan majlis rasmi, bukan untuk berjuang.
  7. Ahli sejarah dari University of The Ryukyus, percaya keris itu berasal daripada Melaka, berdasarkan hubungan diplomatik kedua-dua kerajaan yang terjalin pada abad ke-15.
keris luk sembilan

Kredit : Legasi Tuah oleh Ahmad Suhael Adnan, ahmad.suhael@bh.com.my, December 1, 2015 @ 12:02am

Banyak lagi kisah Sejarah Melayu @ Kisah Sejarah Melayu


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!