Buat dosa pada malam Al-Qadr dilipatgandakan?

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Selamat menyambut 10 terakhir di Bulan Ramadhan yang mana semua orang sedang mencari malam al-Qadr yang kita semua tahu bahawa malam tersebut lebih baik daripada 1000 Bulan.

Malah, semua orang mencari peluang untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Apabila berada di fasa-fasa terakhir di Bulan Ramadhan, ramai dari kalangan umat Islam tidak putus-putus memperbanyakkan amalan seperti berzikir, membaca Al-Quran, Qiamullail, bersedekah dan lain-lain.

Ada juga di sepanjang bulan Ramadhan tidak berhenti membantu orang susah dan orang yang lebih memerlukan.

Ditambah pula dengan usaha yang tidak pernah putus untuk mencari lailatul-Qadr. Sudah pastinya itu adalah peluang yang sangat baik.

“Malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadr, 97:3)

Pada malam ini juga dikatakan bahawa, sesiapa yang beramal di dalamnya, maka ia diibaratkan sudah beramal untuk seribu bulan yang akan datang. Malam Al-Qadr mempunyai kemuliannya tersendiri.

Peluang untuk beribadah pada malam Qadar ini adalah peluang yang diberikan oleh Allah hanya kepada umat Baginda SAW sahaja disebabkan umur umat Nabi Muhammad SAW pendek-pendek.

Dosa yang dilakukan pada malam Al-Qadr

Namun, Adakah dosa yang dilakukan ketika malam Al-Qadr dilipatgandakan? Sedangkan kita tahu bahawa pahala amalan kebaikan akan dilipatgandakan ketika dilakukan di bulan Ramadhan.

Dalam hal ini, Syeikh bin Baz menjawab;

Bulan Ramadan adalah bulan yang paling mulia dalam setahun kerana ia merupakan bulan yang penuh dengan ampunan, rahmat dan pembebasan dari api neraka. Jika suatu bulan atau tempat itu memiliki keutamaan, maka dilipatgandakan kebaikan-kebaikan (di dalamnya) dan menjadi besar dosa-dosa keburukan yang dilakukan (di dalamnya).

Syeikh Ibnu Utsaimin pula mengulas;

Adapun kebaikan yang dilakukan (di dalamnya) dilipatgandakan) dari sudut kualiti dan kuantiti, namun keburukan hanya dilipatgandakan dengan kualiti dan bukan kuantiti.

Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa dalil Allah Taala dalam Al-Quran, iaitu;

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Mafhum: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Surah Al-An-An’am, 6:160)

Melalui pendapat yang telah dinyatakan oleh ulama-ulama di atas, dosa yang dilakukan pada malam Qadar adalah lebih berat berbanding dengan dosa yang dibuat pada bulan-bulan lain.

Namun, dari segi status dan taraf dosa tersebut sama ada ia akan dilipatgandakan atau tidak seperti kebaikan yang dilipatgandakan sehingga 1000 kali, itu adalah dalam urusan Allah Taala.

Bahkan, mereka berpendapat bahawa, dosa tidak akan dilipatgandakan sebaliknya hanya nilai dosa tersebut sahaja yang lebih besar berbanding dosa yang dilakukan pada bulan-bulan lain.

Tuntasnya, malam Qadar merupakan satu malam yang berkat dan lebih dimuliakan kedudukannya di sisi Allah. Disebabkan itu dosa yang dilakukan pada malam itu juga adalah lebih berat, namun tidaklah sehingga dilipatgandakan kuantitinya sehingga 1000 kali.

Jangan lupa untuk baca doa ini pada malam Al-Qadr;

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan Engkau sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”

Wallahu a’alam.

Sumber: Tzkrh.com, rumaysho.com


Spread the love

2 Comments

  1. Kalau dosa digandakan sampai 1000 kali, memang nahaslah jawapannya, kena taubat 1000 kali juga lah gayanya.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!