Berzikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Berzikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah swt sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati. Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah SAW, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan Al-Quran dan seumpamanya.

Membaca Al-Quran turut termasuk dalam kategori perbuatan zikrullah. Kerana itu kita dapat melihat sebahagian mufassirin menafsirkan perkataan zikir yang terdapat di dalam Al-Quran sebagai pembacaan Al-Quran.

Antaranya seperti yang disebutkan dalam firman Allah swt dalam Surah Ta Ha (124):

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Maksudnya : Dan sesiapa yang berpaling dari mengingati-Ku maka buat dirinya kehidupan yang sempit dan Kami akan bangkitkan dia pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta.

Imam Al-Qurthubi dalam tafsiran beliau ke atas kalimah وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي berkata :

أَيْ دِينِي، وَتِلَاوَةِ كِتَابِي، وَالْعَمَلِ بِمَا فِيهِ

Maksudnya : Iaitu (berpaling dari) agamaku, membaca kitab-Ku (Al-Quran), dan (berpaling) dari beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya.

Manakala berzikir di dalam hati juga merupakan suatu perkara yang dituntut. Dalam erti kata seseorang itu mengingati Allah swt di dalam hatinya.

Firman Allah swt dalam surah Al-A’raaf ayat (205)

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً

Maksudnya : Dan ingatlah Tuhan kamu di dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.

Imam Al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menukilkan pendapat Mujahid bin Jabr yang menyebut :

أمروا أن يذكروه في الصدور تضرعًا وخيفة

Maksudnya : Mereka diperintahkan untuk mengingatinya (Allah) di dalam dada dengan penuh rendah diri dan juga penuh rasa takut.

Ini bererti perasaan rendah diri dan perasaan takut itu dihadirkan bersama dengan mengingati Allah S.W.T di dalam hati.

Ini bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah swt dalam surah Ar-Rahman (46)

وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ

Maksudnya: Buat mereka yang takutkan maqam Tuhan mereka, ganjaran dua syurga.

Imam Ibn Abi Al-Dunya menukilkan tafsiran Mujahid Ibn Jabr ke atas ayat ini yang menyebut:

هُوَ الرَّجُلُ يُرِيدُ أَنْ يُذْنِبَ الذَّنْبَ، فَيَذْكُرُ مَقَامَ رَبِّهِ، فَيَدَعُ الذَّنْبَ

Maksudnya: Dia adalah seorang lelaki yang hendak melakukan suatu dosa, kemudian dia mengingati kedudukan Tuhannya, lalu dia pun meninggalkan dosa tersebut.

Maka jelas dari beberapa kenyataan di atas, zikir di dalam hati merujuk kepada mengingati Allah S.W.T serta merasai kebesaran dan ketinggian kedudukan Allah Swt di dalam jiwanya yang membawa dirinya kepada sikap rendah diri, serta takut kepada Allah swt.

Imam Maimun Ibn Mihran berkata:

الذِّكْرُ ذِكْرَانِ ذِكْرُ اللهِ بِاللِّسَانِ، وَأَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ أَنْ تَذْكُرَهُ عِنْدَ الْمَعْصِيَةِ إِذَا أَشْرَفْتَ عَلَيْهَا

Maksudnya: Zikir itu ada dua. Zikrullah dengan menggunakan lisan (lidah), dan yang lebih afdhal dari itu adalah kamu mengingatinya ketika mana kamu hampir melakukan maksiat.

Penutup

Sebagai kesimpulan, berzikir di dalam hati dalam erti kata mengingati Allah swt dan mengenangkan kekuasaan serta kebesaran-Nya merupakan suatu sunnah yang dituntut di sisi syarak dan memberikan ganjaran pahala yang besar kepada para pelakunya.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang memperbanyakkan zikrullah menerusi lisan dan juga melalui jantung hati.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah swt agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Sumber: Mufti Wilayah


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!