Berkasih sayang di dunia, naungan di padang Mahsyar

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setiap kita akan bertemu Allah pada hari akhirat untuk menerima balasan di atas segala amal yang dilakukan semasa di dunia. Setiap manusia akan dibangkitkan dan melalui kesusahan dan kepayahan padang mahsyar kecuali orang yang mendapat perlindungan dari Allah.

Antara orang yang akan mendapat naungan dan perlindungan di padang mahsyar ialah mereka yang saling mencintai sesama mereka semasa di dunia kerana Allah.

Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat kelak: “Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku.” (HR Muslim No: 4655)

Berpada Dalam Mencintai dan Membenci Orang Lain

Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang boleh membawa kecelakaan padanya.

Dari Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.” [HR. At-Tirmidzi No: 1997)

Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.

“Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”

Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.

Awasilah sifat benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka. Berpadalah dalam mengasihi dan membenci seseorang dengan menjaga dan memberi hak mereka sepatutnya.

Rahmat menyayangi yang muda dan menghormati yang tua

Islam mengajar umatnya saling menyayangi dan menghormati orang lain. Sayangila orang yang lebih muda dari kita dan hormati yang lebih tua.

Dari Abdullah bin Amru ia meriwayatkan; Ibnu As Sarh berkata; dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Siapa yang tidak menyayangi orang yang kecil di antara kami dan tidak mengerti hak orang yang lebih besar di antara kami, maka ia bukan dari golongan kami.” (Abu Daud No: 4292)

Antara cara menghormati orang tua adalah:

  1. Memanggil dengan gelaran serta panggilan yang baik.
  2. Bercakap dengan sopan santun.
  3. Berjalan dibelakang atau di sisi bukan dihadapan orang tua.
  4. Meminta laluan jika melintasi orang tua.
  5. Jika dinasihati, dengar dengan baik walaupun kita mungkin tidak bersetuju.
  6. Jika ingin menasihati, gunalah saluran yang betul serta menjaga adab yang baik seperti penggunaan bahasa yang beradab.

Antara cara menyayangi yang muda adalah:

  1. Memberi contoh yang baik.
  2. Menasihatkan dengan cara yang baik jika dia melakukan kesalahan atau kesilapan.
  3. Ajarlah serta bimbing mereka dengan cara yang terbaik.
  4. Jangan mengherdik atau memaki hamun jika dia melakukan kesilapan.
  5. Hargailah sesuatu yang telah dilaksanakan walaupun kecil.
  6. Elak dari merendah dan meremehkan apa yang dilakukan oleh mereka.

Rasulullah SAW tidak mengaku sebagai umatnya kepada orang yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua.

Rahmat dalam menyayangi orang lain

Sayang menyayangi antara sesama orang beriman berkait rapat dengan Imannya kepada Allah.

Tuntutan menyayangi bukan hanya kepada sesama Muslim malah kepada orang bukan Islam juga seluruh makhluk yang lain dengan memberi hak mereka sewajarnya.

Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, anak, serta sesama manusia.

Kasih suami isteri hingga ke syurga

Daripada Abi Musa al-Asyari, sesungguhnya aku mendengar Nabi SAW bersabda: Kamu tidak dianggap beriman sehingga kamu saling menyayangi. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua adalah penyayang. Rasulullah SAW bersabda: Kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah kasih sayang di antara kalian sahaja bahkan kasih sayang kepada seluruh manusia dan seluruh makhluk. (HR Tobrani No 13671) Status: Hadis Sahih

Kasih sayang adalah sifat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain dan bersedia bersusah payah mendatangkan kebaikan kepada orang lain dan menjauhkan keburukan daripada mereka.

Semoga kita menjadi salah seorang yang mendapat naungan di hari kiamat kerana saling cinta mencintai sesama Muslim semata-mata kerana Allah semasa kita hidup di dunia ini.


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!