Berazam tinggalkan kemungkaran mendapat pahala

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,

Seorang manusia takkan terlepas daripada melakukan kesilapan dan juga dosa, tetapi adalah sebaik-baiknya berazam untuk meninggalkan dosa dan perlakuan tersebut.

Baca: Amalan yang boleh menyucikan diri dan menebus dosa yang dilakukan

Malah, seseorang Muslim yang berazam meninggalkan perkara mungkar juga akan mendapat pahala di sisi Allah Taala. Sangat beruntung orang yang berazam dan juga bertaubat daripada dosa yang telah dilakukan apatah lagi jika ia diikuti dengan perbuatan yang baik.

Telah tercatat dalam sebuah hadis qudsi ada menyebut bahawa Allah SWT telah berfirman:

Niat kebaikan tetapi tidak laksanakannya tetap mendapat pahala

Maksud: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka, barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sehingga 700 kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6491)

Ibnu Hajar Al-Asqalani telah mengulas hadis berkenaan – “Sesuatu keazaman itu telah menguatkan lagi niat bagi melakukan perbuatan tersebut. Misalnya, seseorang itu telah berkata: “Aku telah berazam untuk ini (melakukannya), iaitu bermakna; “Aku telah niat dengan tekad akannya” dan ia adalah lebih tinggi lagi kedudukannya daripada sekadar sesuatu lintasan dengan hati.” (Fathu al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/323)

Oleh demikian, dapat difahami bahawa sesiapa yang telah berazam dengan tekad mahu melakukan maksiat tetapi tidak melakukannya kerana takutkan Allah ditulis baginya pahala. Begitulah juga, jika seseorang yang hatinya cenderung melakukan dosa dan maksiat, akan tetapi dia berusaha dan mencari jalan agar tidak melakukannya, baginya juga pahala sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis di atas.

Kesimpulannya, Jagalah batas-batas pergaulan sama ada lelaki mahupun perempuan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Hal ini kerana sebagai seorang manusia, kita tidak dapat terhindar daripada melakukan dosa-dosa kecil akibat daripada perbuatan kita, sebagaimana sabda Nabi SAW:

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan pada setiap anak Adam bahagiannya daripada perbuatan zina yang pasti terjadi dan tidak mungkin dihindari. Maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan perkataan, dalam keadaan nafsu berkeinginan dan membuak-buak, dan kemaluanlah yang akan membenarkan (perkara itu) atau menafikannya” [HR al-Bukhari (6612)]

Hadis ini menjadi peringatan kepada kita semua agar tidak bermudah-mudah dengan dosa-dosa kecil kerana kadang-kadang dosa kecil inilah yang menjadi perrmulaan kepada seorang anak Adam terjerumus ke dalam dosa-dosa besar. Justeru, ianya mesti dijauhi dan dihindari semampu mungkin.

Semoga Allah memelihara kita semua daripada terjerumus ke dalam maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan olehNya.

Sumber: Mufti Wilayah


Spread the love

One Comment

  1. Niat pun sudah dapat ganjaran, apatah lagi bila dapat tinggalkan kemungkaran, moga saya berjaya jauhi kemungkaran dalam diri sendiri.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!