Bahaya tahi judi, duit habis hidup merana, keluarga porak peranda

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Fenomena judi semakin menjadi-jadi. Malangnya terdapat umat Islam yang turut terlibat dalam gejala ini dengan pelbagai bentuk dan cara. Antaranya termasuklah aktiviti seperti loteri, tikam, mesin slot dan sebagainya. Semua itu melibatkan segala bentuk perjudian sedangkan ia adalah satu perkara yang diharamkan dan berdosa besar di sisi Islam.

Judi diertikan sebagai permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan.

Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.

Maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.

Banyak premis perjudian yang beroperasi di sebalik rumah kedai, pusat internet serta pusat hiburan keluarga.

Pengharaman judi dalam al-Quran adalah berlaku secara berperingkat. Pada awalnya, ayat 219 dari surah al-Baqarah menyebut:

MaksudnyaMereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…” Surah al-Baqarah (219)

Pada peringkat seterusnya, turun ayat 90 dari Surah al-Ma’idah yang menyebut:

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90)

Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja.

Kesan dan Akibat Daripada Judi

Antara kesan lain akibat perbuatan berjudi ialah:

  • Lalai daripada tanggungjawab yang dipikul

Ketagihan berjudi mampu mengakibatkan seseorang lupa dan lalai daripada amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Hal ini boleh membawa kepada gejala ponteng kerja, kuliah atau sekolah bagi yang masih belajar.

  • Mengalami kehabisan wang dan sumber

Bagi tujuan memuaskan nafsu dengan keseronokan berjudi, wang dan sumber akan kehabisan kerana kesemuanya dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Ini menyebabkan ramai yang diisytiharkan muflis akibat perbuatan buruk tersebut.

  • Selalu dibebani dengan hutang

Penjudi juga akan selalu dibebani dengan hutang, kehidupan menjadi tidak tenang dan banyak masa terbuang serta mengabaikan keluarga, dan bersikap tamak.

  • Mudah terjebak dengan perlakuan jenayah

Akibat terdesak dan terhimpit untuk mencari sumber bagi terus melayani ketagihan berjudi yang tiada penghujung, pelakunya terdedah untuk terlibat dengan jenayah. Ini kerana, kegiatan perjudian membuka potensi yang besar kepada pelakunya untuk terheret ke kancah pergaduhan, perbuatan mencuri, merompak, malah sampai ke tahap membunuh.

  • Meruntuhkan institusi kekeluargaan

Ketagihan berjudi oleh ‘kaki judi’ akan sampai kepada tahap tergamak mengorbankan kebahagiaan rumatangga yang dibina, mengabaikan nafkah keluarga serta tanggungjawab terhadap anak-anak. Ini sudah tentu akan membawa kepada keruntuhan institusi keluarga dan masyarakat.

  • Punca perpecahan dalam masyarakat

Kegiatan perjudian juga menjadi punca perselisihan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Jika tidak dibendung, ia akan terus membiak dan menjadi barah kepada generasi akan datang dan negara akan mempunyai individu dengan sahsiah yang sangat buruk.

Ia juga meruntuhkan moral dan integriti sesebuah masyarakat.

Kesalahan judi di bawah undang-undang jenayah syariah. Di bawah Akta 559, pada seksyen 18 memperuntukkan:

(1) Mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Dalam seksyen ini, “rumah judi” ertinya mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai, sama ada terbuka atau tertutup, yang digunakan atau disimpan bagi maksud penjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran kemahiran dan nasib, sama ada dibenarkan oleh mana-mana undang-undang lain atau sebaliknya, untuk mendapatkan wang atau nilai wang.

Jelas menunjukkan bahawa bahaya dan mudarat judi amat besar. Pelbagai hikmah telah disebut oleh para ulama’ tentang pengharamannya yang meliputi hikmah terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat yang akhirnya boleh memberi kesan yang buruk terhadap negara.

Semoga Allah SWT menjauhkan kita daripada segala perkara yang ditegah oleh-Nya dan menjadikan kita daripada orang yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan kepada-Nya. Amin.


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!