Azab pedih diseterika dengan api, orang yang tidak mahu keluarkan zakat

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ada orang yang apabila memiliki harta yang cukup nisab dan haul akan mengeluarkan zakat. Orang yang tidak mengeluarkan zakat ketika memiliki harta yang wajib dizakat, termasuk dalam kalangan orang yang rugi.

Orang yang memiliki binatang ternakan seperti lembu dan kambing yang telah cukup nisab (bilangan) namun tidak mengeluarkan zakat, di hari kiamat nanti binatang tersebut akan datang dalam keadaan yang paling besar dan gemuk untuk menanduk dan memijak tuannya.

Zakat bukan hanya sekadar zakat fitrah yang dibayar pada bulan Ramadan, tetapi ada lagi beberapa jenis zakat yang wajib kita keluarkan. Berusahalah menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat harta bagi mengelakkan diri diazab di hari kiamat kelak.

Balasan Orang Yang Enggan Berzakat

Dari Abu Dzarr ia berkata; Aku tiba berdekatan Rasulullah SAW ketika baginda sedang duduk di bawah naungan Kaabah. Ketika baginda melihatku, baginda bersabda: “Demi Tuhan Kaabah, mereka itu adalah orang-orang yang rugi.” Lalu aku dekati baginda, seraya aku duduk dan bertanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka?”

Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang memiliki harta yag melimpah, kecuali mereka (yang menyedekahkannya atau mengeluarkan zakatnya kepada hamba-hamba Allah) mengatakan; sebegini, sebegini, sebegini (sambil baginda memberi isyarat ke depan dan ke belakang, ke kanan dan ke kiri).

Namun mereka ini jumlahnya hanya sedikit. Tidaklah seorang lelaki mati lalu ia meninggalkan unta, lembu, dan kambing yang tidak ia keluarkan zakat ternaknya, melainkan pada hari kiamat kelak haiwan-haiwan ternaknya yang paling besar dan gemuk datang kepadanya menanduk dengan tanduknya dan memijak-mijak orang itu dengan kakinya.

Setiap yang terakhir selesai memijak-mijak, yang pertama datang pula kembali untuk menanduk dan memijak kembali. Demikianlah siksaan itu berterusan sehingga perkara itu diputuskan.” (HR Muslim No: 1652)

Diseterika Kerana Tidak Berzakat

Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang mempunyai emas dan perak, tetapi dia tidak membayar zakatnya, maka di hari kiamat akan dibuatkan untuknya seterika api yang dinyalakan di dalam neraka, lalu diseterikakan ke perut, dahi dan punggungnya.

Setiap kali seterika itu sejuk, maka akan dipanaskan kembali lalu diseterikakan pula padanya setiap hari -sehari setara dengan lima puluh tahun (di dunia) – hingga perkaranya diputuskan. Setelah itu, barulah ia melihat jalannya keluar, adakalanya ke syurga dan adakalanya ke neraka.” (HR Muslim No: 1647)

Harta yang wajib dikeluarkan zakat adalah emas dan perak, tanaman, buah-buahan, binatang ternak, wang simpanan dan harta karun.

Orang yang memiliki harta seperti emas dan perak yang telah cukup nisab dan haul namun tidak mengeluarkan zakat, maka di hari kiamat akan dibuatkan untuknya seterika api yang dinyalakan di dalam neraka, lalu diseterikakan ke perut, dahi dan punggungnya.

Di dalam al-Quran menceritakan, tubuh orang yang tidak mengeluarkan zakat akan dibakar (dipanggang) di dalam neraka Jahannam dengan hartanya sendiri yang telah dipanaskan. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih.

Pada hari dipanaskan emas perak itu di dalam neraka Jahannam, lalu dibakarnya dahi mereka, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan.” (QS. At-Taubah: 34-35)

Enggan Mengeluarkan Zakat Akan Diazab

Dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang diberi harta oleh Allah -Azza wa Jalla-, lalu ia tidak menunaikan zakatnya, maka hartanya akan berubah pada hari Kiamat menjadi seekor ular berkepala putih (kerana banyak racunnya) serta memiliki dua titik hitam di atas matanya atau dua taring, lalu memakan dengan kedua tulang rahangnya (taringnya) pada hari Kiamat, lalu menyatakan, ‘Akulah harta simpananmu, akulah harta simpananmu’.”

Kemudian baginda membaca ayat ini: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dileher mereka apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak (Ali Imran: 180) (HR Bukhari No: 4199)

Setiap Muslim wajib mengeluarkan zakat kepada hartanya yang telah mencukupi nisab dan haul. Orang yang enggan mengeluarkan zakat, di hari kiamat nanti hartanya akan berubah menjadi seekor ular yang akan membelit dan memakan

Orang yang tidak mengeluarkan zakat, akan dikalungkan dileher mereka apa yang mereka bakhilkan pada hari kiamat kelak.

Ayuh, pastikan kita yang memiliki harta yang perlu dizakat agar segera mengeluarkan zakat apabila cukup nisab dan haulnya.

Zakat Fitrah Menyucikan Diri

Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan-kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadhan) yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.

Zakat fitrah untuk memastikan orang yang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Eidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama keseluruhan umat Islam. Islam tidak ingin melihat di hari 1hb Syawal ada orang yang meminta-minta padahal dalam kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.

Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari 1hb Ramadan sehingga sebelum solat Sunat AidilFitri pada 1hb Syawal.

Zakat fitrah yang dikeluarkan selepas solat sunat hari raya aidilfitri tidak menjadi zakat tetapi hanya menjadi sedekah biasa. Dia tetap menanggung dosa kerana tidak membayar zakat.

Jangan lupa bayar ZAKAT FITRAH kepada amil yang dilantik. Moga ia menjadi penampal kekurangan puasa kita.


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!