Ambil vaksin, wajib atau tiada paksaan?

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sekali lagi telah viral berkenaan dengan isu vaksin apabila terdapat golongan pro dan contra serta kesan dalam masyarakat Malaysia; di antara pengambilan vaksin dengan yang begitu menentang dengan pelbagai alasan.

Apa itu Vaksin?

Vaksin berasal dari bahasa latin vacca (sapi) dan vaccinia (cacar sapi). Vaksin adalah bahan antigenik yang digunakan untuk menghasilkan kekebalan aktif terhadap suatu penyakit sehingga dapat mencegah atau mengurangi pengaruh infeksi oleh organisme alami atau “liar”. Vaksin dapat berupa virus atau bakteria yang telah dilemahkan sehingga tidak menimbulkan penyakit.

Vaksin akan mempersiapkan sistem kekebalan manusia atau haiwan untuk bertahan terhadap serangan tertentu, terutama bakteria, virus, atau toksin. Vaksin juga dapt membantu sistem kekebalan untuk melawan sel-sel kanser.

Pemberian vaksin diberikan untuk merangsang sistem imunologi tubuh untuk membentuk antibodi spesifik sehingga dapat melindungi tubuh dari serangan penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin. Ada beberapa jenis vaksin. Namun, apa pun jenisnya, tujuannya adalah sama, iaitu menstimulasi reaksi kekebalan tanpa menimbulkan penyakit.

Penggunaan vaksin bagi menambah imunisasi badan adalah diharuskan oleh syarak di samping menekankan kepentingan pengambilan vaksin untuk meningkatkan imunisasi badan terhadap serangan beberapa penyakit berjangkit. Seperti mana yang disarankan oleh para doktor, dan institusi-institusi perubahan tempatan dan antarabangsa.

Namun begitu, kesan gerakan anti-vaksin dalam masyarakat Malaysia sebenarnya semakin parah dan membimbangkan.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pihak KKM melalui pemantauan yang dilakukan mendapati gerakan penolakan pemberian vaksin oleh ibu bapa masa kini terus meningkat daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada tahun 2016.

Dalam masa yang sama, penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin telah meningkat dengan mendadak, contohnya kes penyakit demam campak. Daripada rekod Kementerian Kesihatan, pada tahun 2018, terdapat enam rekod kematian demam campak di mana semuanya akibat tiada imunisasi, lima kes kematian berpunca daripada difteria dan empat daripadanya akibat tiada imunisasi.

Kenyataan ini menunjukkan memang terdapat hubungan sebab-akibat antara gerakan penolakan vaksin dan penularan kes-kes penyakit berjangkit yang boleh dielakkan dengan Program Imunisasi Kebangsaan.

Hal ini tidak boleh dibiarkan di dalam masyarakat tanpa ada pantauan dan penguatkuasaan.

Rujuk kepada Ahli Ikhtisas (Pakar)

Sebab itulah pentingnya merujuk kepada ahli ikhtisas. Ahli ikhtisas adalah mereka yang berkepakaran dan mempunyai ilmu serta pengalaman yang mendalam dalam bidang masing-masing. Dalam isu vaksin ini, sudah barang tentu pakar-pakar perubatan khususnya berkenaan pakar dalam bidang vaksin perlu dirujuk untuk mendapat sebuah gambaran secara khusus dan terperinci.

Justeru, diasaskan pertimbangan ini berdasarkan kepada nas:

MaksudnyaOleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.(Surah al-Nahl: 43)

Berkata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Jelasnya merujuklah kepada pakar dan ahli bidang-bidang tertentu jika kamu tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan merujuk dan memohon bantuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doktor. Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama’.” (Lihat Fatwa antara Ketelitian dan Kecerobohan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm 45)

Apakah Imunisasi dan Vaksin?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi dari sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Pada hari ini, kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi; iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

Bagaimana Vaksin Dihasilkan?

Vaksin terhasil daripada pembiakan organisma hidup. Sesetengah organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya. Oleh itu, penghasilan vaksin dijalankan dalam keadaan yang dikawalselia dengan rapi. Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). Perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk:

  • memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat; dan
  • memastikan identiti, kekuatan, kualiti dan keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan

Penghasilan vaksin dijalankan di dalam persekitaran bebas kuman (aseptik) dan dipantau secara rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti. Proses penghasilan boleh berbeza mengikut jenis vaksin kerana beberapa komponen yang digunakan dalam proses penghasilan adalah khusus kepada jenis vaksin sama ada berunsurkan virus atau bakteria. Secara amnya, penghasilan vaksin melibatkan empat langkah asas:

  • Pembiakan: Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.
  • Pengasingan: Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.
  • Penulenan: Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.
  • Formulasi: Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan. (Lihat Soalan Lazim Mengenai Vaksin Dan Imunisasi, Kementerian Kesihatan Malaysia & JAKIM)

Kesan Mengambil Vaksin

Adakah vaksin benar-benar mencegah penyakit? Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui imunisasi:

  • Smallpox (cacar) telah berjaya dibasmi (eradikasi) di seluruh dunia pada tahun 1980. Smallpox adalah penyakit yang tiada rawatan dengan kadar kematian yang tinggi. Ia menyebabkan parut atau buta kepada orang yang dijangkiti.
  • Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu Rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat. Malaysia telah mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000.
  • Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan dengan ketara. Imunisasi telah menjadikan dunia semakin selamat dengan menyelamatkan jutaan nyawa dari dijangkiti penyakit yang boleh dicegah ini. Tanpa imunisasi, dua hingga tiga juta lagi kanak-kanak dan orang dewasa akan mati setiap tahun akibat penyakit poliomyelitis, meningitis, difteria dan penyakit cegahan vaksin yang lain.
  • Kita dilindungi dari barah (kanser) tertentu seperti vaksin Human papilloma virus (HPV) memberi perlindungan terhadap kanser pangkal rahim manakala vaksin hepatitis B memberi perlindungan terhadap kanser hati.

Pengambilan vaksin juga dapat melindungi kita serta orang lain dalam masyarakat (imuniti kumpulan). Apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi dari jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria/virus penyebab penyakit tersebut sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti.

Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung dari jangkitan penyakit tersebut, ini dinamakan ‘imuniti kelompok’. Imuniti kelompok hanya dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi. Ia berupaya melindungi mereka yang tiada perlindungan imunisasi dan berisiko daripada dijangkiti bakteria/virus tersebut.

Maka, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara. Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah (kanser) dan perlu menjalani rawatan kemoterapi; lantas mereka berisiko untuk mendapat jangkitan.

Jawapan Kepada Salah Faham Terhadap Vaksin

Terdapat beberapa jawapan berkenaan dengan salah faham terhadap vaksin. Sebahagiannya telah nyatakan dalam media dan beberapa jawapannya yang diambil daripada kenyataan Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik :

  • Isu Anekdot dan Testimoni

Dato’ Dr Musa Mohd Nordin (Pakar Perunding Pediatrik / Pediatric Specialist) berkata: “Kita tidak boleh bergantung kepada testimoni semata-mata, sebab telah dibuktikan kes kematian kanak-kanak divaksin di UK sebenarnya disebabkan barah jantung. Kes di Mexico pula disebabkan alat-alat yang tidak disteril dengan baik.”

Beliau juga mengatakan kaedah ilmu perubatan mempunyai hierarki tersendiri. Yang tertinggi ialah randomized control trial sebagai gold standard. Yang paling bawah ialah testimoni atau anecdote (cerita pengalaman peribadi). Testimoni tidak boleh dijadikan hujah yang kukuh dan bukanlah evidence yang memuaskan. Ada beberapa laporan mengatakan terdapat aduan kesihatan merosot selepas seminggu atau sebulan pengambilan vaksin. Malah ada kes kematian dilaporkan.

  • Isu Vaksin dan Autisme

Dato’ Dr Musa Mohd Nordin juga menyebut antara perkara terpenting dalam kajian saintifik ialah “reproducibility”. Bermakna setiap hasil dalam kajian mesti boleh replicated oleh pengkaji lain. Setakat ini tiada siapa yang reproduce kajian yang mengaitkan vaksin dan autisme, bahkan majoriti penulis kajian ilmiah dan penerbit telah menarik semula kertas kajian tersebut.

Correlation does not imply causality. Vaksin mengandungi aluminium, ada kanak-kanak divaksin dijangkiti autism, jadi aluminium dalam vaksin adalah penyebab autism. Dato’ Dr Musa Mohd Nordin menjawab aluminium dalam vaksin hanya 0.8mg saja. Dalam tempoh 6 bulan risiko aluminium jika mengambil susu ibu adalah dua kali ganda. Jika ambil susu formula, ia adalah 10 kali ganda! Jika ambil susu soya, 30 kali ganda! Adakah bermakna ambil susu ibu, susu formula dan susu soya boleh menyebabkan autism?

Selain itu, beberapa syubhat yang ditimbulkan telah dijawab tuntas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam dokumen-dokumen berikut:

Negara yang Mewajibkan Vaksin

Beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah termasuk Singapura sudah mewajibkan vaksin ini sejak lebih 10 tahun lalu. Pemberian vaksin itu secara klinikal membuktikan berlaku penurunan kes invasive pneumococcal infection, iaitu lebih daripada 90 peratus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan satu juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun mati akibat jangkitan kuman pneumokokal setiap tahun. (Lihat Imunisasi Elak Penyakit Berbahayaoleh Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, 13 September 2017)

Kepentingan Awam Lebih Penting Berbanding Kepentingan Individu

Program Imunisasi Kebangsaan perlu difahami daripada dua sudut untuk mengetahui keberkesanannya:

  1. Imuniti Peribadi (Personal Immunity)
  2. Imuniti Kelompok (Community/Herd Immunity)

Bagi Imuniti Peribadi, fungsi vaksin “menggunakan menggunakan tindakbalas semulajadi tubuh terhadap jangkitan untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun).


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!