Amalan Sunat Walau Tak Solat Jumaat

Spread the love

ADAKAH disunatkan lagi amalan sunat pada hari Jumaat jika sekiranya tergugurnya solat Jumaat seperti disebabkan Covid-19 ini?

Umum sedia maklum terdapat fatwa daripada institusi fatwa antarabangsa pelbagai negara memutuskan menangguhkan solat Jumaat dan solat berjemaah.

Justeru itu, timbul persoalan adakah masih terdapat amalan sunat Jumaat, jika sekiranya solat Jumaat ditangguhkan?

Baca : Hikmah Di Sebalik ‘Sakit’ Yang Menimpa

Bagi menjawab persoalan di atas, kami kemukakan jawapan.

Pertamanya,

Allah SWT memberi ganjaran sesuatu amalan berdasarkan kepada niat seseorang. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Saidina Umar al-Khattab RA, bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya setiap perbuatan berdasarkan kepada niat dan setiap orang itu diganjari berdasarkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang hijrahnya dilakukan kerana Allah SWT dan rasul-Nya, maka hijrahnya itu untuk Allah SWT dan rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah untuk apa yang dihijrahkan kepadanya.”

(Hadith riwayat al-Bukhari, No. 6689)

Baca : Tiada Solat Jumaat di Malaysia, Singapura dan Brunei ekoran penularan covid-19

Oleh itu, jika sekiranya sesuatu perbuatan diniatkan semata-mata kerana Allah SWT dan rasul-Nya, maka Allah SWT mengganjari seseorang berdasarkan apa yang diniatkan.

Kedua,

Bahawa amalan sunat hari Jumaat adalah berdasarkan kepada kemuliaan hari tersebut, iaitu hari Jumaat dan bukannya berkaitan ibadat di dalamnya seperti solat Jumaat. Hal ini sama seperti kemuliaan Ramadan yang berkait dengan kemuliaan bulan tersebut dan bukan bergantung kepada ibadah berpuasa.

Oleh itu, seseorang yang tidak dapat berpuasa kerana uzur atau bermusafir contohnya, dia masih mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah SWT bagi ibadah lain di dalamnya.

Baca : Jangan Tinggalkan Amalan Ini Pada Hari Jumaat

Justeru amalan di hari Jumaat masih lagi sunat untuk diamalkan seperti membaca surah al-Kahfi, mandi sunat Jumaat, memenuhi hari dengan ibadah, memakai pakaian putih dan wangian. Perbuatan ini juga sebagai tanda untuk memuliakan dan mengagungkan hari Jumaat dan mengikut sunnah Nabi SAW.

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan amalan sunat hari Jumaat yang tidak berkait secara khusus dengan solat Jumaat, masih lagi disunatkan untuk dilakukan seperti mandi sunat Jumaat, membaca surah al-Kahfi, memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas Baginda SAW dan sebagainya.

Hal ini kerana kelebihan ganjaran amalan ini bergantung kepada kemuliaan dan keagungan hari Jumaat dan tidak tergugur dengan tiada solat Jumaat. Adapun amalan sunat yang berkait secara khusus dengan solat Jumaat seperti berjalan kaki ke masjid, datang awal ke masjid, mendengar khutbah, beriktikaf di masjid dan lain-lain, maka ia tergugur dengan tiadanya solat Jumaat.

Baca : Surah Yasin atau Surah Al-Kahfi, Mana yang Menepati Sunnah Nabi dan Mazhab Syafie?

Oleh itu, janganlah kerana sebahagian amalan-amalan sunat Jumaat tidak dapat dilakukan, maka kita meninggalkan kesemua amalan tersebut. Hendaklah memanfaatkan sebaik mungkin masa lapang yang ada untuk menambah amalan kebaikan apa yang termampu untuk dilakukan, serta tiada mensia-siakan waktu ini dengan amalan yang tidak berfaedah.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

Sumber Al-Kafi li al-Fatawi Mufti Wilayah Persekutuan


Spread the love

3 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!