Adakah wujud manusia lain sebelum Nabi Adam A.S ?

Spread the love

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

MaksudnyaDan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Surah al-Baqarah (30)

Imam Abu Jarir al-Tobari menyatakan di dalam tafsirnya bahawa kesemua hidupan diciptakan sebelum penciptaan Adam. Beliau turut meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa makhluk pertama yang mendiami bumi ialah jin, yang kemudiannya berbuat kerosakan dan menumpahkan darah. Beliau turut meriwayatkan daripada al-Rabi’ bin Anas bahawa Allah SWT menciptakan malaikat pada hari Rabu, jin pada hari Khamis dan Adam pada hari Jumaat. (Rujuk Tafsir al-Tobari 1/232)

Jelas daripada riwayat-riwayat ini, Nabi Adam dan umat manusia diciptakan setelah penciptaan malaikat dan jin.

Bagaimana Malaikat Mengetahui Manusia akan Berbuat Kerosakan?

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi, para ulama berbeza pandangan tentang bagaimana para malaikat dapat mengetahui bahawa manusia akan berbuat kerosakan, sama ada ia berdasarkan wahyu daripada Allah SWT, atau istinbat dan sangkaan mereka sahaja berdasarkan beberapa wajah:

  • Menurut riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma dan al-Kalbi, para malaikat mengqiyaskan manusia dengan jin yang tinggal di bumi sebelum penciptaan Adam AS.
  • Ada juga ulama yang menyatakan bahawa para malaikat mengetahui bahawa manusia diciptakan dengan syahwat dan sifat marah, maka lahirlah dari kedua-dua sifat tersebut kefasadan, kerosakan dan penumpahan darah.
  • Allah SWT telah memberitahu kepada para malaikat bahawa jika ada suatu ciptaan yang besar di bumi, mereka akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah.
  • Abu Zaid berkata, sewaktu Allah SWT mencipta neraka, para malaikat berasa takut yang amat sangat dan berkata: “Wahai Tuhan kami, untuk siapa kau mencipta neraka ini?” Allah SWT menjawab: “Untuk mereka yang menderhakai Aku dalam kalangan makhluk-Ku”. Ketika itu satu-satunya makhluk yang wujud ialah malaikat, dan tiada makhluk yang mendiami bumi, maka tatkala Allah SWT mahu menjadikan khalifah di bumi, maka para malaikat memahami bahawa maksiat dan derhaka itu muncul daripada khalifah yang ingin diciptakan ini.
  • Berkemungkinan para malaikat melihat kefasadan yang berlaku di bumi yang telah tertulis di Luh Mahfuz.
  • Khalifah bermakna wakil Allah dari sudut hukum dan penghakiman, dan hakim dan qadhi hanya diperlukan ketika berlaku pertikaian dan kezaliman, maka wujudnya khalifah bermakna berlakunya kefasadan secara pasti. (Rujuk Mafatih al-Ghaib, 2/156-157)

Menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi pula, malaikat mengetahui bahawa manusia yang ingin diciptakan Allah SWT pasti akan menumpahkan darah dan berbuat kerosakan di bumi kerana sebelum ini sudah diciptakan jin untuk hidup di bumi dan berbuat perkara yang serupa. Firman Allah SWT:

MaksudnyaDan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (26) Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. Surah al-Hijr (27)

Gambar sekitar peperangan di gaza palestine 001

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, terdapat beberapa kemungkinan sebab para malaikat mengetahui manusia akan berbuat kerosakan:

  • melalui perkhabaran daripada Allah SWT
  • pengetahuan daripada Luh Mahfuz
  • mereka mengetahui bahawa hanya malaikat satu-satunya makhluk yang terjaga daripada dosa seluruhnya
  • mengqiyaskan manusia dengan jin yang pernah mendiami bumi dan berbuat kerosakan
  • Terdapat sejenis makhluk sebelum Nabi Adam yang berbuat kerosakan di muka bumi dan menumpahkan darah, dan mereka inilah yang akan digantikan oleh kaum manusia untuk menjadi khalifah di bumi. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ مِن بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ                 

MaksudnyaKemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

Surah Yunus (14)

  • mereka mengetahui tabiat al-maddah yang mempunyai kebaikan dan kejahatan; dan inilah pandangan yang beliau tarjihkan. (Rujuk Tafsir al-Munir, 1/125)

Secara tuntasnya, dinyatakan bahawa tidak wujud umat manusia lain sebelum penciptaan Nabi Adam AS. Adapun firman Allah SWT yang seolah-olah menggambarkan bahawa telah wujud satu kaum manusia sebelum Baginda, maka ia ditafsirkan dengan satu bangsa daripada kalangan jin, sebagaimana riwayat yang disebut oleh para ulama tafsir.

Mereka merupakan satu bangsa yang banyak berbuat kerosakan dan menumpahkan diri di bumi, dan dari sejarah bangsa jin inilah para malaikat mengqiyaskannya dengan manusia, dan mengetahui manusia akan mengulangi sikap yang sama dengan jin.

Namun terdapat juga sebab lain yang dikemukakan oleh para ulamanya, antara malaikat mendapat perkhabaran terus daripada Allah SWT, atau malaikat mendapat maklumat daripada Luh Mahfuz yang memperlihatkan kefasadan yang dilakukan oleh manusia.

Wallahu a’lam.


Spread the love

6 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!