Adakah Allah SWT menyekat rezeki kita?

Spread the love

Assalamualaikum dan Selamat sejhatera,

Melakukan maksiat kepada Allah SWT mungkin salah satu sebab rezeki seseorang itu disekat. Firman Allah SWT:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Maksudnya: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” (Surah al-Syura: 30)

Dalam Tafsir al-Jalalayn (hal.643), kalimah “كَسَبَتْ” bererti dosa-dosa yang mereka lakukan. Ertinya dosa-dosa yang dilakukan adalah punca bagi bala yang menimpa kita.

Manakala bagi orang yang tidak berdosa, bala yang ditimpakan Allah adalah menaikkan darjat mereka di Hari Akhirat kelak (jika mereka bersabar dan redha).

Manakala Imam Ibn Kathir pula menyebut dalam tafsirnya bahawa bala yang ditimpakan itu sebagai ganti seksa yang sepatutnya berlaku di akhirat, maka Allah telah ampunkan di dunia dengan timpaan bala itu. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (7/207).

Lalu beliau menyebut hadis berikut. Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَب وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزَن إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا مِنْ خَطَايَهُ حَتَّى الشَّوْكَةِ  يُشَاكُهَا

Maksudnya: “Demi Dia yang jiwaku di Tangan-Nya, tiada seorang mukmin yang ditimpa keletihan, kesakitan, kerisauan, dan kesedihan, melainkan Allah akan menjadikan musibah itu penebus kesilapan-kesilapannya, termasuklah duri yang mengenainya.” Hadis muttafaqun alaih

Maka sewajarnya kita segera bertaubat, memperbanyakkan ibadat dan memberikan hak seseorang jika kita mengambilnya secara zalim dahulu.

Adapun jika kita sudah bertaubat tetapi masih berasa sempit daripada sudut rezeki, maka kita perlu faham tidak semestinya ia diakibatkan oleh musibat dosa. Barangkali berpunca daripada tidak faham konsep rezeki itu sendiri dan pembahagiannya.

Kategori Pertama: Rezeki Yang Sudah Ditetapkan Tanpa Perlu Dicari

Ada rezeki yang sudah ditetapkan Allah SWT tanpa perlu dicari. Sebahagian orang, sekalipun dengan usaha yang sedikit, dia memperolehi rezeki yang banyak. Kadang-kadang, dia memperolehinya tanpa usaha pun. Allah SWT berfirman:

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاءُ وَيَقْدِرُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 36)

Kategori Kedua: Rezeki Yang Perlu Dicari

Selain daripada rezeki yang sudah ditetap oleh Allah SWT kepada kita tanpa usaha atau usaha yang minimum, ada rezeki yang Allah tetapkan kepada kita jika kita berusaha mencarinya. Firman Allah Taala:

وَهُوَ الَّذِي سَخَّرَ الْبَحْرَ لِتَأْكُلُوا مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا وَتَسْتَخْرِجُوا مِنْهُ حِلْيَةً تَلْبَسُونَهَا وَتَرَى الْفُلْكَ مَوَاخِرَ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl: 14)

Boleh jadi kita berasa rezeki kita disekat tetapi sebenarnya kita belum cukup usaha dan strategi untuk memperolehinya. Lihatlah maksud ayat di atas, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya”.

Justeru, hendaklah kita mencari sumber-sumber rezeki yang halal dan tidak mengehadkan pada satu-satu kaedah sahaja. Barangkali rezeki kita dipermudahkan bukan untuk bekerja di bawah orang tetapi bekerja sendiri.

Mungkin juga sebaliknya. Yang penting kita perlu usaha dan berstrategi, termasuklah berbincang dan mengambil pengalaman daripada orang lain, kemudian berazam dan bertawakal kepada Allah Taala.

Kesimpulan

Sebagai orang beriman kepada qadha dan qadar, kita wajib menerima ketetapan yang Allah sudah diberikan kepada kita. Hendaklah kita bersyukur dan menghargai kurniaan Allah yang sudah diberikan kepada kita dan dalam masa yang sama teruskan berusaha menggilap potensi diri dan kemahiran.

Setiap orang memiliki kebolehan istimewa dan tugas kita untuk mengenalpasti dan meningkatkan kualiti kebolehan tersebut. InsyaAllah kita akan berjaya.

Daripada sudut keduniaan, berapa ramai jutawan yang berjaya bermula dengan susah dan tidak bekerja di bawah sesiapa pun, tetapi dengan kesungguhan usaha dan kebijaksanaan, mereka berjaya dan memiliki ramai pekerja.

Sumber: Mufti Wilayah


Spread the love

One Comment

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!