7 Amalan Sunat Yang Boleh Dilakukan Pada Aidilfitri Walaupun PKPB

Spread the love

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Setelah sebulan umat Islam mengerjakan ibadah puasa iaitu rukun Islam yang ketiga, kini tibalah masa untuk hari raya Aidilfitri pula menjelma.

Hari yang dinanti-nantikan oleh setiap insan ini seharusnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Antara cara untuk menzahirkan rasa kesyukuran itu adalah dengan melaksanakan perkara-perkara sunat yang disarankan dalam Islam dan dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri pada setiap 1 Syawal.

Walaupun sekarang ni kita masih dalam fasa PKPB, amalan-amalan sunat ini masih boleh dilakukan di rumah bersama keluarga.

Berikut kami senaraikan amalan-amalan tersebut.

1) MANDI SUNAT HARI RAYA SEBELUM MENUNAIKAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI

Kita disunatkan untuk mandi sunat Hari Raya Aidilfitri pada pagi Syawal sebelum keluar ke masjid dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri.

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”

Tapi sekarang ni tak boleh ke masjid dan surau, jadi kita mandi sunat seperti biasa sahaja. Kemudian tunaikan solat sunat aidilfitri di rumah.

2) MENJAMAH MAKANAN SEBELUM SOLAT AIDILFITRI

Tujuan disunatkan makan sedikit sebelum bersolat Aidilfitri adalah untuk menunjukkan bahawa umat Islam tidak dibenarkan berpuasa pada 1 Syawal.

Sebaiknya, hendaklah makan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat. Ini kerana kebiasaannya, Rasulullah SAW akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi Hari Raya.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

Baca : Allah Turunkan Ujian Dalam Pelbagai Bentuk Dan Waktu Yang Berbeza

3) MEMPERBANYAKKAN TAKBIR

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan.

Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah dilihat dengan jelas. Takbir ini kemudiannya hendaklah diteruskan lagi pada pagi Syawal.

Firmah Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.”

4) MENGUCAPKAN SELAMAT DAN MENDOAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN

Lafaz ucapan hari raya bagi umat Islam di Malaysia yang kebiasaannya diucapkan adalah ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin’. Lafaz ini juga sudah memadai.

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya: Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

Zaman teknologi pada harini sangat membantu kita dalam berkomunikasi. Hubungilah keluarga, sanak saudara, dan rakan taulan dan doakan mereka. Mungkin sekarang kita tidak dapat beraya di kampung, tetapi tidak bermakna kita lupakan mereka.

5) MEMAKAI PAKAIAN TERBAIK YANG ADA

Kita digalakkan untuk memakai pakaian yang terbaik dan indah pada hari raya Aidilfitri, namun dengan mengikut kemampuan masing-masing dan tidak membazir. Bagi kaum lelaki, disunatkan untuk memakai bau-bauan yang wangi.

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

Dan jangan lupa untuk sentiasa memakai mask jika keluar dari rumah ye.

6) BERZIARAH DAN MERAPATKAN HUBUNGAN BAIK (UKHUWWAH) SESAMA MUSLIM

Ziarah menziarahi merupakan amalan turun menurun umat Islam di Malaysia. Berziarah sesama saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga merupakan satu amalan yang amat digalakkan dilakukan pada bulan Syawal.

Tapi untuk tahun 2020 mungkin agak berbeza. Kita tidak digalakkan untuk menziarahi saudara mara, rakan, dan jiran tetangga kerana bimbang akan mengakibatkan penularan wabak Covid-19. Kerajaan telah mengeluarkan arahan supaya kita hanya boleh merentas daerah sahaja, tidak lebih dari itu.

Baca : Allah Turunkan Ujian Tanda Allah Sayang

Namun, itu tidak menjadikan alasan untuk kita tidak merapatkan silaturrahim. Kita masih boleh menggunakan aplikasi video call seperti whatsaap, google meet, skype, dan banyak lagi. Itulah norma baharu di Malaysia.

Nabi pernah bersabda (mengenai merapatkan silaturrahim) :

مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه

Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

7) Mengerjakan Puasa Sunat Enam Dalam Bulan Syawal

Puasa sunat enam boleh dilakukan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal, bermula dari Syawal kedua, sama ada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

Namun, cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama.

Antara fadhilat terbesar apabia kita puasa 6, adalah bersamaan dengan kita berpuasa selama 1 tahun. Allahuakbar !

Semoga bermanfaat. Jangan lupa share ye 🙂

Rujukan : Mufti Wilayah

Baca ; ‘Ujian’ Yang Allah Beri Adalah Jalan Menuju Ke Syurga


Spread the love

2 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!