221 Ahli Parlimen Dititah Menghadap Agong Bermula Hari ini Dan Esok

Spread the love

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Bermula hari ini dan esok, kesemua Ahli Parlimen kecuali Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Ini merupakan buat kali pertama yang berlaku dalam sejarah politik tanah air kita.

Kesemua 221 Ahli Parlimen itu akan menzahirkan siapakah calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dalam sesi temubual secara peribadi.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, kesemua Ahli Parlimen akan dibahagikan kepada dua sesi temubual dengan Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan pertama, kata beliau, akan diadakan pada hari ini bermula pukul 2.30 petang di Istana Negara.

“Kumpulan pertama seramai 90 orang akan diadakan hari ini dengan sekurang-kurangnya setiap Ahli Parlimen akan ditemubual selama antara dua hingga tiga minit.

“Sementara selebihnya akan disambung esok dan proses temubual akan diadakan sendiri oleh baginda dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Zuki Ali,” kata Ahmad Fadil dalam sidang media di Istana Negara sebentar tadi.

Menurut Datuk Ahmad Fadil, kesemua Ahli Parlimen akan dipanggil serentak menghadap Al-Sultan Abdullah tanpa mengikut mana-mana parti politik.

Dewan Rakyat memiliki 222 Ahli Parlimen yang diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 2018.

Bagaimanapun, kemelut politik tanah air ketika ini menyaksikan pelbagai perkembangan yang tidak dijangka berlaku sejak tiga hari lalu.

Sumber: Awani


Spread the love

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!