11 Berita Best Untuk Kaki Masjid

Spread the love

Assalammualaikum dan Salam Syaban.

Masjid merupakan simbol syiar yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Ia adalah jantung hati dan nadi kehidupan umat Islam. Sewaktu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah perkara pertama yang menjadi agenda besar baginda ialah membina masjid di Quba’ Madinah. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredaan Allah SWT nescaya didirikan baginya sebuah rumah di dalam Syurga,” – Riwayat Bukhari

Masjid Quba merupakan masjid yang pertama di bina oleh orang Islam dan ianya terletak di Kota Madinah kira-kira dua batu dari Masjid Nabawi

Masjid disebut sebagai rumah Allah. Ia merupakan tempat paling aman, selamat dan damai kepada umat Islam yang selalu berkunjung ke masjid. Umat Islam yang datang ke masjid akan mendapat bonus pahala dan keberkatan hidup di sisi Allah.

Beruntunglah orang yang digelar kaki masjid. Sekurang-kurangnya mereka mendapat 11 ganjaran berikut;

1- Rasulullah berpesan: “Jika kamu melihat seseorang yang sentiasa ke masjid, maka persaksikanlah dia orang beriman. Allah berfirman: ‘Sesungguhnya orang yang memeriahkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat (Al-Tawbah 9: 18). ” (Riwayat Ibn Majah)

2- Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid jemaah, maka pada satu langkah dihapuskan dosa, pada langkah lain dicatatkan pahala, baik semasa pergi atau balik.”
(Riwayat Ahmad, Ibn Majah)

3- Rasulullah bersabda: “Tiada seorang Muslim pun yang sentiasa menghadirkan dirinya ke masjid-masjid untuk solat dan zikir melainkan Allah gembira menyambutnya sebagaimana ahli keluarga yang bergembira menyambut saudaranya yang sudah lama menghilang.” (Riwayat Ibn Majah)

4- Rasulullah bersabda: “Ada tiga golongan semuanya dijamin Allah ; ketika hidup dia diberikan rezeki dan kecukupan, apabila mati dia masuk syurga :

i. Sesiapa yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin Allah.
ii. Sesiapa yang keluar rumah untuk ke masjid, maka dia dijamin Allah.
iii. Sesiapa yang keluar demi untuk berjuang di jalan Allah, maka dia dijamin Allah.
(Riwayat al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

5- Rasulullah bersabda: “Tidak berkumpul suatu kaum di mana-mana rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat dan malaikat meneduhi mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka di depan malaikat-malaikat.”
(Riwayat Muslim)

Masjid Nabawi di Kota Madinah

6- Rasulullah bersabda: “Ada tujuh golongan yang akan dinaungkan Allah dengan naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya… seseorang yang hatinya terpaut pada masjid-masjid.”
(Riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat Malik: “Seseorang yang hatinya terpaut pada masjid sehingga dia kembali kesitu semula.”

7- Rasulullah bersabda: “Berilah khabar gembira kepada orang yang selalu berjalan kaki dalam kegelapan malam demi menuju ke masjid bahawa untuknya cahaya sempurna pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Tirmizi)

8- Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang solat berjemaah sempat dengan takbir pertama selama 40 hari kerana Allah, dicatatkan untuknya dua pelepasan ; pelepasan daripada neraka dan pelepasan daripada sifat munafik.”
(Riwayat al-Tirmizi)

9- Rasulullah bersabda: “Masjid rumah setiap orang bertakwa. Allah telah jamin sesiapa yang masjid menjadi ibarat rumahnya dengan keluasan, kerehatan dan kemudahan melepasi sirat menuju keredaan Tuhan.” (Riwayat al-Baihaqi)

10- Rasulullah berasabda: “Sesiapa yang berpergian pada waktu awal pagi atau petang menuju ke masjid, Allah akan menyediakan baginya tempat atau hidangan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid pada awal pagi dan petang.”
(Riwayat Ahmad)

11- Allah berfirman: “Demikianlah, dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah maka kerana hal itu satu kesan ketakwaan hati.”
(Al-Hajj 22: 32)

Dan Allah juga berfirman: “Sesungguhnya orang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.”
(Al-Hujurat 49: 13)

Ya Allah semoga kami menjadi kaki masjid dunia supaya kami termasuk dalam senarai VIP-Mu di syurga.

Nasihat saya untuk semua termasuk diri saya sendiri, jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

“Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadah yang terbaik untuk-Mu.”
(Riwayat Abu Dawud)

Jangan lupa baca jugaRahsia Masjid Nabawi Madinah ye..

Wallahualam. Semoga bermanfaat. Jangan lupa klik share 😉


Spread the love

4 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!