10 Keistimewaan Kota Madinah Yang Patut Anda Tahu

Spread the love

Assalammualaikum dalam salam sejahtera.

Sebahagian umat Islam yang belum pernah datang ke Madinah tertanya-tanya tentang apa kelebihan Madinah, sebuah tempat yang terlalu istimewa di hati umat Islam.

Madinah al-Munawwarah merupakan satu kota yang dibuka kembali oleh Nabi Muhammad S.A.W semasa Baginda berhijrah.

Nama asal Madinah ialah Yathrib. Perkataan Yathrib maksudnya sedih dan menyesal dan ia berasal daripada nama seorang Yahudi yang pertama kali membuka penempatan di sini.

Selepas banjir besar pada zaman Nabi Nuh, salah seorang keturunan Nabi Nuh membuka penempatan di sekitar sini. Selepas itu, barulah datang pengikut Nabi Yaakub yang mendapat petunjuk bahawa Rasul akhir zaman akan dibangkitkan di sini.

Maka mereka pun turut berkampung di sini menunggu kehadiran Nabi akhir zaman,  dengan harapan, insan yang mereka tunggu itu, adalah dari kalangan mereka sendiri.

Kota Madinah menjadi tempat turunnya wahyu, tempat al-Quran diturunkan. Para malaikat sentiasa turun di sini, terutamanya Malaikat Jibril dan Mikail as semasa Rasulullah SAW masih ada.

Setiap inci dan penjuru Madinah adalah saksi kepada kehidupan Nabi Muhammad, penghulu seluruh manusia dan para Nabi.

1- Terpelihara Daripada Wabak Taun Dan Demam

Rasulullah S.A.W pernah mendoakan agar Madinah terpelihara daripada wabak taun dan demam.

Rasulullah mendoakan supaya segala wabak taun dan demam itu dihantar ke al-Juhfah, iaitu salah satu tempat Miqat Haji untuk penduduk dari sebelah benua Afrika. Sehingga kini al-Juhfah menjadi bandar yang kurang sihat dan tidak ramai penghuni.

2- Dijaga Oleh Para Malaikat Daripada Dimasuki Dajjal

Pada akhir zaman, semasa pemerintahan Dajjal yang dikatakan oleh Rasulullah akan berlangsung selama 40 tahun atau 40 bulan atau 40 hari, Dajjal akan pergi ke seluruh pelusuk dunia dan segala ceruk kampung hatta di dalam hutan banat sekalipun.

Namun hanya ada 2 kota sahaja yang tidak akan dapat dimasuki oleh Dajjal, iaitu kota Makkah dan kota Madinah.

Dajjal mahu masuk ke dalam Madinah, tetapi para malaikat akan menghalang Dajjal daripada masuk ke dalam. Akhirnya Dajjal akan berkampung di luar tanah haram Madinah, di atas satu bukit.

Selepas itu Madinah akan bergegar sebanyak tiga kali dan akan mengeluarkan orang-orang fasik dan munafik daripada bumi Madinah. Mereka akan mengikuti semboyan Dajjal dan menjadi pengikut Dajjal.

Tidak lama selepas itu, berlakulah peperangan di antara Dajjal dan seorang pemuda yang dikatakan sebagai Imam Mahdi.

3- Menjadi Tempat Kembalinya Iman

Pada saat seluruh dunia dipenuhi kemungkaran, sehingga hampir semua manusia tidak terselamat daripada terkena bahaya kerosakan itu, bandar Madinah menjadi penampan kepada semua kejahatan itu.

Iman manusia akan kembali subur apabila datang ke Madinah, sewaktu berkunjung ke sini. Pada akhir zaman kelak, Madinah akan menjadi benteng iman yang tidak akan surut meskipun diterjah dengan pelbagai dugaan dan ancaman luar.

Sabda Nabi dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah yang bermaksud;

“Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana kembalinya ular ke lubangnya.”

Hadith riwayat Imam Bukhari

Madinah akan menjadi kota terakhir yang akan musnah dalam kalangan kota-kota Islam yang lain sebelum hari kiamat berlaku. Begitu sabda Nabi yang direkodkan oleh Imam Tirmizi.

4- Tanah Haram

Rasulullah menjadikan Madinah sebagai Tanah Haram, sama sebagaimana Nabi Ibrahim menjadikan Mekah sebagai Tanah Haram. Nabi S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya Nabi Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sepertimana Nabi Ibrahim mengharamkan Makkah dan aku berdoa untuk keberkatan cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim berdoa untuk Makkah.”

Nabi memasyhurkan Madinah sebagai Tanah Haram pada tahun ke-7 Hijrah sebaik pulang dari peperangan Khaibar.

5- Mempunyai 1000 Nama

Terlalu banyak nama yang diberikan kepada Madinah, bagi menggambarkan betapa tinggi nilainya di sisi umat Islam dan betapa dekatnya tempat ini di hati mereka.

Diriwayatkan bahawa nama-nama Madinah adalah lebih 1000 nama. Antaranya, al-Munawwarah (yang bercahaya), Toyyibah (baik), Tibah (baik), madkhala sidqin (tempat masuk yang benar) dan lain-lain.

6- Strategik Dari Segi Geografi

Madinah terletak di tengah-tengah lembah yang subur, yang dikelilingi kawasan berbatu besar, kesan daripada batuan gunung berapi yang sudahpun tidak aktif.

Madinah turut dikeliling bukit yang besar di sebelah utara dan selatan, yang menjadi penampan kepada musuh yang datang dari luar. Juga terdapat bukit di sebelah barat. Hal ini menyebabkan musuh sukar untuk masuk ke dalam Madinah.

7- Membersihkan Dosa Manusia

Rasulullah pernah bersabda bahawa Madinah akan menyucikan dosa-dosa manusia seumpama dapur logam membersihkan karat besi pada logam. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Bukhari.

8- Berkat Dua Kali Ganda Berbanding Tanah Haram Makkah

Sayyidina Anas bin Malik R.A pernah meriwayatkan daripada Rasulullah bahawa Baginda berdoa; 

“Ya Allah, Kurniakanlah keberkatan di Madinah dua kali ganda berbanding yang Engkau kurniakan di Makkah.”

Hadith disepakati oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim

Hadith ini menunjukkan bahawa bumi Madinah ini lebih banyak berkahnya dan lebih subur berbanding Makkah.

Sebab itu, sekiranya kita ada mempunyai wang berlebihan, kita digalakkan supaya berbelanja di Madinah, khususnya membeli barangan berasaskan kurma.

Di Madinah, kurma Nabi gred tinggi ditanam di kawasan Tanah Tinggi yang dinamakan al-Aliyah, yang mana kurma ini mempunyai tekstur lembut dan besar berbanding kurma Nabi yang biasa.

9- Bukit Uhud Yang Dicintai Rasul Dan Mencintai Rasul

Sepanjang perjuangan Nabi di Madinah, terdapat banyak peperangan yang disertai oleh Nabi dan banyak pula yang tidak disertai oleh Nabi. Hampir semua peperangan dimenangi oleh Rasulullah dalam keadaan kecederaan yang minima.

Namun, Bukit Uhud menjadi saksi peperangan Rasulullah yang sengit dan mendatangkan kecederaan agak parah kepada Nabi. Bukit Uhud menjadi pelindung kepada Nabi saat kuffar Makkah menyerang dan membalas serangan pusingan pertama umat Islam.

Nabi pernah patah gigi di sini, pernah tertikam dan dihempap topi besinya dengan batu. Malah Nabi pernah pengsan di Bukit Uhud. Sehinggakan Nabi pernah bersabda yang membayangkan kecintaan Nabi kepada Bukit Uhud,

“Bukit ini mencintai kami, dan kami mencintainya.”

10- Tempat Tinggal Terbaik Untuk Orang Mukmin

Rasulullah pernah bersabda;

“Madinah adalah paling baik untuk mereka kalaulah mereka mengetahui.”

Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Satu persatu kota umat Islam termasuk kota Makkah akan jatuh dan terkubur dengan pelbagai sebab seperti peperangan, gempa bumi, penjajahan, dan bencana alam yang lain.

Akhir zaman nanti, hanya kota Madinah yang akan tinggal terakhir sekali. Maka kota ini akan bertahan lama sehingga hari kiamat menjelang.

Dah baca? Klik share 🙂

Sumber : tzkrh


Spread the love

8 Comments

  1. subhanallah negara yang sangat indahdan tenang, mudah2an kelak bisa menginjakan di di negara suci ini,,mudah2an di beri kemudahan dan di berikan rezeki,..

  2. Subahanallah. Memang benar bumi Madinah ini tenang, subur dan selalu menggamit hati-hati yang kerinduan.

    Semoga di rezeki kan untuk meninggal dunia di bumi Madinah Al-Munawarrah yang penuh baroqah ini. Aamiin.

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!