Tarikh Lihat Anak Bulan Zulhijjah menentukan Aidiladha

Spread the love

Assalamualaikum dan salam 1Dunia, mengikut “Jadual Penerbangan Haji Malaysia 2011” 29/10/2011 adalah penerbangan terakhir Jemaah Haji Malaysia dan ini bermakna hampir semua Jemaah Haji sudah berada di Mekah. Bersyukur kepada yang telah terpilih menjadi tetamu Allah SWT untuk musim haji 2011. Terpilih menjadi Tetamu Allah SWT bukan kerana banyak duit, bukan kerana sihat, bukan kerana muda, bukan kerana kita kenal orang Tabung Haji bukan kerana sebab-sebab dunia melainkan kerana kita dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi tetamu terhormatnya.

Tapi sayang sungguh kerana ramai Jemaah Haji yang tidak memaksimumkan peluang menjadi tetamu Allah dengan membawa ego, kekayaan dan kuasa bersama. Tidak kurang juga majoriti jemaah haji sibuk membeli belah dan mengirim balik berkotak-kotak hasil belian mereka melalui syarikat penghantaran. Tidak kurang ramai juga jemaah haji kurang ilmu untuk melaksanakan ibadah haji sehingga mengganggu kelancaran ibadah. Sayangkan dah datang jauh-jauh dengan kos yang tinggi tetapi ibadah haji tidak sempurna.

Niat mesti dijaga supaya tidak lari dari niat sebenar untuk menyempurnakan Rukun Islam ke lima mengerjakan haji dan umrah kerana Alllah SWT bukan kerana hal-hal dunia. Setiap saat di bumi haram di Mekah dan Madinah setiap jemaah haji tidak akan lepas dari ujian Allah Swt. Bukan mudah untuk mendapat Haji Mabrur. Antara Tips untuk dapat Haji Mabrur adalah banyakkan memberi makan/minum jemaah lain, banyakkan memberi salam dan banyakkan khidmat membantu jemaah lain yang memerlukan. Senang tulis tapi mujahadah nak buat.

Untuk Rakyat Malaysia seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja, petang 27 Oktober bersamaan 29 Zulkaedah ditetapkan tarikh lihat anak bulan Zulhijah untuk menentukan Aidiladha. Pada malam itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad akan mengisytiharkan tarikh Hari Raya Qurban menerusi radio dan televisyen.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini, Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidiladha atau Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. Sebanyak 30 lokasi ditetapkan bagi melihat anak bulan iaitu di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; Bukit Melawati dan Pulau Angsa, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, dan Sabak Bernam di Selangor.

Lokasi lain ialah Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut, dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai, Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu di Kelantan; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak serta Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Sabah.

Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan; Menara Kuala Lumpur di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Wilayah Persekutuan Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di Perlis.

TERKINI : “Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengisytiharkan tarikh Hari Raya Haji bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad, 6 November 2011,” katanya. – BERNAMA


Spread the love

87 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!