Kisahnya Secebis Hati part 19

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, part ke-19 sambungan “Kisahnya Secebis Hati“ hasil coretan dari Penderma HATI, Ahmad Khariri. Jika belum baca episod awal Part 1 hingga 18 yang dipublish sebelum ni sila KLIK DI SINI. Rakan Blogger boleh menjemput Saudara Ahmad Khariri untuk sesi Motivasi berkongsi pengalaman dan juga kepada yang teringin mempromosikan bisnes isteri beliau sila klik – Bunga Telur Teddy Bear.

Pesakit Bengkak Hati : Allahyarham Adik Mohd Yohitt Bin Mohd Farhan Kutty Krishnan

Penderma Hati : Ahmad Khariri Al-Hadi Bin Md Yusop

Tarikh pembedahan pemindahan hati (Liver Transplant) : 18 Disember 2004

Tarikh Adik Yohitt meninggal dunia : 28 Januari 2005

Kisahnya Secebis Hati

Dalam keadaan separuh sedar, saya terdengar sesuatu berbunyi dengan kuat di sebelah bantal saya. Bunyi itu berulang kali sehingga membuatkan saya hampir terjaga dari tidur. Bunyi tersebut seolah-olah datang dari mimpi saya. Mimpi saya terus hilang dan tumpuan telinga saya hanya kepada bunyi tersebut. Pada mulanya saya kurang pasti bunyi tersebut namun apabila saya amati, ianya adalah bunyi dari deringan telefon bimbit saya. Walaupun begitu, saya beranggapan mungkin orang tersilap menghubungi saya waktu ini. Deringan tersebut berhenti dan kemudiannya berbunyi semula.

Telefon abang berbunyi tu. Entah-entah ada panggilan kecemasan!” Isteri mengejutkan saya agar segera menjawab panggilan telefon tersebut.

Saya mendapatkan telefon tersebut dan pemanggilnya adalah Encik Sharif! Pasti ada sesuatu yang mustahak ingin disampaikan kepada saya. Jika tidak masakan pagi-pagi seperti ini beliau menghubungi saya. Saya lihat jam baru menunjukkan pukul 5.35 pagi. Hati saya mulai tidak selesa dan fikiran saya hanya tertumpu kepada adik Atiqah! Pasti ada sesuatu yang kurang baik ingin disampaikan. Segera saya menekan butang hijau dan menjawab panggilan tersebut.

Khariri! Adik bleeding teruk! Sekarang aku on the way ke hospital!” Encik Shariff menyampaikan mesej dengan suara yang tersekat-sekat.

Saya pasti Encik Sharif tidak mampu untuk meneruskan kata-kata beliau dalam keadaan ini sekiranya saya bertanya lebih lanjut. Nampaknya simptom yang dikatakan oleh doktor beberapa hari lepas ketika saya dan Encik Sharif menemui doktor yang merawat adik Atiqah, kini benar-benar terjadi.

kisahnya secebis hati
Gambar hiasan

Dr Goon adalah salah seorang doktor yang bertanggungjawab menjaga dan merawat adik Atiqah di SJMC. Ketika mula-mula adik Atiqah di bawa ke sini, saya diperkenalkan kepada doktor ini untuk mengetahui tindakan selanjutnya yang akan diambil dalam sesi rawatan kepada adik Atiqah. Penerangan yang amat jelas ini memberikan gambaran sebenar apa sebenarnya yang sedang dihadapi oleh adik Atiqah.

Sememangnya sebagai ayah dan insan yang rapat dengan adik Atiqah, kami tidak mahu hanya diberikan gambaran ‘penyedap hati’ sahaja. Walaupun adakalanya gambaran tersebut sukar untuk kami terima namun, sebagai manusia kami percaya akan qada’ dan qadar.

Saya segera mengenakan baju untuk segera ke hospital. Walaupun mata masih mengantuk namun kepentingan dan ‘kesedapan’ untuk tidur dan berselimut awal pagi ini, saya ketepikan semua itu terlebih dahulu. Biar mata ini menjadi saksi kepada apa yang terjadi dan tidak sekali-kali menangis kerana menyesal atas faktor mementingkan diri sendiri sahaja. Saya bukan bercakap kerana saya inginkan perhatian tetapi saya mengutamakan apa yang lebih utama. Hanya manusia yang mengutamakan manusia. Saya kurang pasti sekiranya masih ada manusia yang mementingkan waktu tidur mereka daripada memikirkan nasib dan harapan yang masih ‘berbaki’ kepada adik Atiqah.

Tidak terbayang rasanya apabila adik Atiqah mengalami keadaan yang saya sendiri tidak pernah alami. Menurut Dr Goon, apabila adik Atiqah mula bleeding, banyak kemungkinan yang lebih teruk akan terjadi. Sistem organ dalaman beliau sudah semakin lemah dan dikhuatiri ada yang sudah tidak berfungsi seperti asal. Kemungkinan demi kemungkinan bakal berlaku. Kuasa manusia terbatas, hanya kepadaNya kami panjatkan doa agar segala kemungkinan yang tidak baik akan bertukar kepada berita yang lebih mengggembirakan.

Kadangkala saya tidak sampai hati untuk melihat adik Atiqah dalam keadaan begini. Pernah suatu ketika di PPUM, adik Atiqah menggunakan mesin bantuan pernafasan. Apabila mesin itu menutupi hampir keseluruhan wajah anak kecil itu, saya dapat rasakan bagaimana sukar dan tidak selesanya adik Atiqah dalam keadaan tersebut.

Perjalanan ke Subang Jaya hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dari Shah Alam. Jalan yang lebih lancar dan ‘pecutan’ dari Perodua Kenari saya merentasi kabus dan kedinginan Lebuhraya Persekutuan ini. Mata tertumpu hanya beberapa meter ke hadapan namun hati dan perasaan saya sudah sampai terlebih dahulu di SJMC. Mungkin Encik Sharif telah selamat tiba di SJMC dan pastinya beliau sedang keadaan teramat risau ketika ini.

Bukan beliau sahaja yang dalam keadaan risau malahan saya yakin seluruh ahli keluarga beliau dan rakyat Malaysia juga risau apabila mengetahui apa yang terjadi kepada adik Atiqah ketika ini.

Kisahnya Secebis Hati

Setibanya saya di SJMC, ruang kosong untuk memakir kereta di sini masih banyak kosong dan suasananya masih tenang tanpa kesibukan yang menjadi tumpuan para pesakit dan keluarga pesakit. Jika sebelum ini saya datang pasti amat sukar mencari parkir dan adakalanya hanya memakir kenderaan saya di sisi jalan. Kadangkala terpaksa ‘meminjam’ ruang hadapan kediaman penghuni teres yang terletak di hadapan SJMC ini.

Semenjak adik Atiqah dipindahkan ke SJMC, saya telah menerima beberapa ‘surat cinta’ dari Majlis Perbandaran Subang Jaya kerana kesalahan parkir. Dan suatu masa, kenderaan saya pernah hampir ditarik oleh unit ‘towing’ kerana tidak mengendahkan undang-undang lalu lintas majlis tempatan ini. Pelbagai ragam dan karenah setiap hari berkaitan lot-lot parking di sekitar SJMC ini.

Sebelum saya naik ke wad ICU yang menempatkan adik Atiqah, Encik Sharif beberapa kali menghantar SMS kepada saya agar segera naik kerana keadaan adik Atiqah yang semakin teruk.

Cepat naik kerana tekanan darah adik semakin rendah!

SMS tersebut nampaknya dalam keadaan yang amat ‘menakutkan’ saya. Saya kurang pasti apa situasi sebenar adik Atiqah di ICU ketika ini. Hanya terbayang wajah kecil dan redup adik Atiqah. Wajah yang menjadikan saya sebagai insan yang kuat dan bersemangat! Sebelum saya menekan butang lift untuk memasuki lift, tiba-tiba saya dikejutkan dengan SMS dari Encik Sharif..

Allah SWT lebih menyayangi adik. Adik baru sahaja meninggalkan kita semua!

Bersambung …


Spread the love

48 Comments

  1. Assalamualaikum, bagaimana saya hendak hubungi En Khariri untuk jemputan sebagai ahli panel forum derma organ??

    Dr Masyitah, Unit kesihatan, UiTM kampus Puncak Alam (03-32584133)

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!