Kembara korban kemboja 2014 bersama eQurban

Spread the love

Assalamualaikum dan Salam 1Dunia, pada 4 Oktober yang lalu, Denaihati Network telah menghantar wakil untuk bersama-sama dalam kembara korban di Kemboja bersama eQurban.com. Saban tahun Denaihati akan mengikuti kembara ke sana, tahun ini bukanlah tahun pertama pihak Denaihati mengikuti kembara korban ini.

Pada tahun ini, rombongan kembara berlepas dalam dua kumpulan, kumpulan pertama pada pagi Sabtu manakala kumpulan kedua pada petang Sabtu yang sama. Penerbangan dari KLIA 2 mengambil masa 1 jam 55 minit untuk tiba di Phnom Penh.

Setibanya di Phnom Penh kami disambut oleh wakil CMC dengan sebuah Van. Dalam perjalanan ke lokasi penginapan, kami singgah sebentar untuk membeli simkad tempatan demi memastikan keperluan internet sepanjang berada di sini tersedia.

Perjalanan ke lokasi penginapan mengambil masa hampir 30 minit, setibanya di apartment tempat kami menginap, kumpulan pertama sudah menanti di sana. Pada malam tersebut, selepas menikmati hidangan makan malam, pihak eQurban, TM dan mereka yang terlibat membuat persiapan menyemak senarai nama dan bilangan lembu yang akan disembelih pada hari pertama Aidiladha.

kembara kemboja malam pertama

Suasana Aidiladha di Phnom Penh tidak banyak bezanya, walaupun mungkin tak semeriah di tanahair kita, tetapi pada pagi hari raya, solat sunat Aidiladha diadakan dengan jemaah yang tetap ramai. Walaupun khutbah tidak difahami, tetapi alhamdulillah tiada kekurangan yang dirasai.

taklimat sebelum proses sembelihan di sekolah nur iman
taklimat sebelum proses sembelihan di sekolah nur iman

Selepas selesai solat, rombongan kembara kami terus bersiap-siap untuk menuju ke lokasi sembelihan. Pada hari pertama, sebanyak tiga lokasi sembelihan yang akan diuruskan. Lokasi pertama di Sekolah Nur Iman dengan 12 ekor lembu, lokasi kedua di CIC dengan jumlah 29 ekor lembu dan lokasi terakhir di Kampung Chhnang dengan 37 ekor lembu.

Semasa di Kampung Chhnang ini, saya tersentuh hati melihat kedaifan kehidupan penduduk di lokasi kampung yang kami tujui itu. Rumah yang dibuat daripada buluh dan atas nipah itu kelihatan sangat kecil untuk menempatkan pasangan suami isteri dan anak mereka.

penduduk kampung mengangkut lembu ke kampung berdekatan
penduduk kampung mengangkut lembu ke kampung berdekatan

Namun begitu, mereka tetap tersenyum menyambut kedatangan rombongan pihak kami. Mereka masih cuba untuk menikmati kehidupan dengan apa yang mereka ada. Semoga kita semua yang berada di Malaysia dengan pelbagai kemudahan ini akan sentiasa mensyukuri apa yang kita perolehi, kerana ramai lagi yang tidak berpeluang untuk merasai kehidupan seperti di Malaysia.

Rombongan kembara korban kemboja 2014 pada kali ini telah menyembelih 330 ekor lembu sepanjang 4 hari proses sembelihan di buat di beberapa lokasi sekitar kemboja. Setiap hari bermula dari hari pertama AidilAdha sehingga hari tasyrik yang ketiga, rombongan kami mengembara ke pelbagai lokasi untuk menunaikan amanah yang telah diberikan oleh mereka yang menempah melalui eQurban.com.

Ada beberapa lokasi yang kami pergi mengambil masa sehingga 4 jam perjalanan. Perjalanan melalui jalanraya bertar dan juga jalan raya tanah merah. Syukur alhamdulillah tiada hujan lebat semasa melalui laluan tanah merah ini, kalau tidak mungkin ada sesi tolak menolak kenderaan yang perlu dilakukan.

laluan tanah merah di kemboja
laluan tanah merah di kemboja

Melawati ke Kemboja, sekiranya kita hanya bersiar-siar di bandar seperti Phnom Penh mungkin kita tidak akan menemui atau dapat melihat kedaifan kehidupan penduduk-penduduk yang susah ini. Andai kita ingin melihat golongan yang susah, perlu keluar dari bandar, mungkin perjalanan mengambil masa sekitar sejam, untuk membolehkan kita melihat situasi yang diterangkan awal tadi.

Jurang ekonomi yang ketara kelihatan antara golongan berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah. Usaha untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada rakyat tempatan perlu dilakukan, terutama yang berada di kampung-kampung ini. Ada skop pemikiran yang telah diamalkan sejak dari kecil menyebabkan mereka masih berada di tahap sekarang. Semoga usaha dari pelbagai pihak untuk membantu penduduk di sana dipermudahkan.

Ini merupakan pengalaman pertama saya ke Kemboja mengikuti urusan korban di sana. Sepanjang 5 hari berada di Kemboja, banyak perkara yang membuatkan saya termenung jauh, bagaimana sebenarnya begitu banyak nikmat yang sedang kita kecapi.

Nota Denaihati : Syukur kepada yang dapat berkorban tahun ini kepada yang belum mulakan mengumpul duit dari sekarang untuk tahun depan. Terlalu banyak ganjaran yang telah ALLAH janjikan untuk mereka yang menyempurnakan ibadah kurban … kalau bukan kita yang yakin dengan hjanji ALLAH siapa lagi.


Spread the love

232 Comments

Comments are closed.

OTHER POSTS

Subscribe to Denaihati

Dapatkan artikel terkini terus dalam email anda!